Artis Melayu
Lazimnya, artis membawa maksud seniman ataupun seniwati yang bertanggungjawab untuk menghiburkan para penonton. Penari, pelakon dan penyanyi juga boleh dikategorikan sebagai penghibur masyarakat.
Secara amnya, penyanyi merupakan penghibur yang menyampaikan lagu daripada beberapa jenis genre seperti pop, nasyid, klasik, tradisional dan rock & roll. Penyanyi boleh tampil secara solo mahupun berkumpulan.
Dalam bidang hiburan, penyanyi biasanya akan menerbitkan album di bawah syarikat rakaman. Syarikat-syarikat terbabit bukan sahaja perlu membuat persiapan awal sebelum penerbitan album malah juga perlu mengambil kira pemasaran rekod di pasaran tempatan.
Beberapa dekad yang lalu, penyanyi hanya boleh terkenal sekiranya mempunyai kontrak di bawah label tertentu. Tetapi bidang hiburan pada zaman kini telah berubah kerana penyanyi indie (penyanyi bebas) boleh menerbit dan memasar album tanpa bantuan daripada syarikat rakaman.
Dalam bidang hiburan, apabila seseorang individu menceburi bidang muzik, seniwati/seniman terbabit juga akan berkecimpung dalam bidang lakonan dan perfileman. Dengan kata lain, penghibur ialah seorang penyanyi, pelakon, pemain muzik dan penari.
Antara artis tempatan yang cukup terkenal termasuklah P. Ramlee, Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Erra Fazira, Ella, Mawi, Ning Baizura dan Anita Sarawak. Nama P. Ramlee pasti tidak asing bagi masyarakat tempatan kerana beliau bukan sahaja menaikkan taraf bidang hiburan tempatan malah juga berjaya mengukir nama di persada seni dalam pasaran global.
Tan Sri Dr. P. Ramlee (Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh) merupakan seorang artis tempatan yagn banyak menyumbang dalam persada filem di Malaysia. Dilahirkan di Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudiannya menyambung pelajaran di Sekolah Francis Light dan Penang Free School.
Beliau mula menunjukkan minat terhadap seni apabila belajar bermain ukulele, gitar dan biola sejak dari bangku sekolah lagi. P. Ramlee mendaftarkan namanya dalam Orkes Teruna Sekampung dan Sinaran Bintang Sore. Namun, namanya hanya mula dikenali ramai apabila beliau dianugerahkan Bintang Penyanyi Utama Malaya oleh Radio Pulau Pinang pada tahun 1947.
Setahun selepas memenangi gelaran Bintang Penyanyai Utama Malaya, beliau membintangi filem ‘Chinta’ dengan memainkan watak penjahat. Lakonannya berjaya menambat hati penonton dan ini memberi peluang kepada beliau untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon. Dalam masa 7 tahun, P. Ramlee sudah membintangi 27 buah filem.
Pada tahun 1951, majalah Filem Raya Malaya memberi gelaran ‘Bintang Pujaan Malaya dan Indonesia’ kepada P. Ramlee. Pada tahun 1956, beliau berjaya mengukir nama di persada seni antarabangsa dengan memenangi skor muzik terbaik dalam Festival Filem Asia ke-3 di Hong Kong. Beliau kemudiannya dianugerahi pelakon lelaki terbaik dalam Festival Filem Asia ke-4 yang diadakan di Tokyo.
P. Ramlee juga merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu yang berbakat. Antara lagu popular yang dipersembahkan oleh beliau ialah ‘Ku rindu padamu’, ‘Senjakala’ dan ‘Mengapa tak berkawan’ yang dinyanyikan bersama Saloma. Lagu terakhir daripada P. Ramlee ialah ‘Ayer mata di Kuala Lumpur’ manakala filem terakhirnya adalah ‘Laksamana Do Re Mi’. Artis yang berbakat ini meninggal dunia pada tahun 1973.
Selain daripada P. Ramlee, seorang lagi artis yang berbakat dan terkenal dalam industri hiburan antarabangsa ialah Anita Sarawak. Beliau yang berasal daripada Malaysia pernah menerima gelaran ‘The Top Diva’ di Asia. Anita melibatkan diri dalam bidang seni sejak beliau berumur 15 tahun.
Sejurus selepas memulakan kariernya sebagai seorang artis, EMI Records menandatangani kontrak dengan Anita. Sepanjang beliau menerbitkan album, Anita pernah banyak menerima anugerah piring emas. Setelah berjaya dalam bidang seni di negara Asia, Anita mendirikan kerjayanya di Las Vegas, Amerika Syarikat. Sekali lagi, Anita berjaya mencapai kemasyhuran di pasaran antarabangsa setelah menghabiskan 20 tahun di Caesar’s Palace.
Anita terkenal dengan dendangan lagu klasik dan popular masa kini. Oleh sebab itu, beliau terpaksa menukar pemain-pemain muziknya dari semasa ke semasa bagi menjayakan persembahannya yang sentiasa berubah. Mujurlah Anita mendapat bantuan daripada pengarah muzik terkenal, Nate Wingfield yang mampu mencungkil pemain-pemain muzik terbaik bagi menjayakan persembahan Anita.
Setelah menghabiskan 20 tahun di negara barat, Anita kembali ke Singapura dan menetap di Malaysia untuk meneruskan kariernya sebagai seorang penghibur yang berjaya. Anita mengambil keputusan untuk menceburi persada filem dan drama.
Selain itu, beliau juga memulakan barang kemas sendiri yang diberi nama ‘Anita Sarawak, Koleksi Cinta’. Sepanjang kariernya sebagai seorang artis, Anita banyak menerbitkan album EP dan LP. Antara album yang laris ialah Seksis, Asmara dan Antara yang Manis.
Dunia seni hiburan dalam negara semakin berkembang apabila Siti Nurhaliza Tarudin menjadi Juara Bintang HMI yang dianjurkan oleh RTM pada tahun 1995. Pada usia 16 tahun, empat syarikat rakaman antarabangsa termasuk Sony Music, BMG Music dan Warner Music menawarkan kontrak rakaman kepada Siti Nurhaliza.
Namun, beliau mengambil keputusan untuk menerima kontrak rakaman yang ditawarkan oleh Suria Records. Tidak lama selepas beliau menerbitkan single pertamanya ‘Jerat Percintaan’, album terbabit menjadi juara keseluruhan dalam Anugerah Juara Lagu ke-10. Berikutan kejayaannya dalam penerbitan single pertama, Siti mula dikenali sebagai tokoh dalam budaya pop Melayu.
Dalam album-album seterusnya, Siti merakamkan pelbagai jenis lagu seperti R & B, Pop dan tradisional. Beliau bukan sahaja terkenal di tanah air malah juga mempunyai peminat di negara lain seperti Singapura, Brunei dan Indonesia. Namanya makin terkenal apabila Siti membuat persembahan di upacara penutupan Sukan Komanwel ke-16 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Beliau diberi Anugerah Emas ketika membuat persembahan di Shanghai Music Festival pada tahun 1999 di China. Selain itu, Siti juga menggondol gelaran ‘Pop Winner’ dalam South Pacific International Song and Competition pada tahun yang sama di Australia melalui persembahannya ‘We’ll be as one’.
Konsert solo Siti di Royal Albert Hall, London pada tahun 2005 berakhir dengan jayanya apabila akhbar British memberi gelaran ‘Asia’s Celine Dion’ kepada beliau kerana kekuatan vokalnya. Sepanjang kariernya sebagai seorang artis, beliau sentiasa menjadi ikon semasa dalam dunia seni hiburan. Setakat ini, Siti merupakan salah seorang artis yang menerima paling banyak anugerah dalam dunia hiburan tempatan.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai program realiti pencarian bakat terdendam dianjurkan untuk mencungkil dan mempopularkan artis yang berpotensi. Sebenarnya, Juara Bintang HMI anjuran RTM adalah antara program realiti yang terawal muncul di televisyen tempatan.
Walau bagaimanapun, antara program realiti mencari bakat yang popular ialah Akademi Fantasia, Mentor dan One in a Million. Melalui program-program realiti tersebut, penyanyi berbakat seperti Vince Chong, Mawi, Suki, Aizat dan Tomok berjaya mengukir nama dalam dunia seni hiburan.
