Kepercayaan karut masyarakat Melayu: Jenis Hantu (bahagian 2)
Dalam siri 1, kita telahpun membincangkan dua jenis hantu iaitu Toyol dan Pontianak. Berikut adalah siri kedua yang akan membentangkan tiga jenis hantu dalam kepercayaan masyarakat Melayu iaitu hantu air, pelesit dan hantu raya.
Hantu Air
Hantu air ataupun kadang-kala dikenali sebagai hantu laut merujuk kepada sejenis makhluk halus/jin yang lazimnya dijumpai di kawasan berair. Mahkluk halus ini merbahaya kerana mereka agak keras dan mungkin mendatangkan masalah sekiranya bertembung dengan jin ini. Jin ini biasanya terapung-apung seakan-akan sebatang kayu buruk tetapi sesiapa yang bertembung dengan mereka mungkin dilumpuhkan oleh mahkluk halus ini. Selain itu, mahkluk halus ini juga mampu menjelma dalam bentuk lain sekiranya mereka ingin mengusik sesiapa yang berhampiran dengan pinggir air. Nelayan yang ingin melepaskan diri daripada diusik mahkluk halus ini perlu menjalankan upacara semah laut ataupun dikenali sebagai puja pantai setiap tahun.
Pelesit
Pelesit yang berasal daripada golongan jin/syaitan adalah sejenis mahkluk halus yang dipelihara oleh manusia (lazimnya adalah wanita). Pelesit dipelihara kerana ia digunakan untuk memudaratkan musuh. Pemeliharaan pelesit diikenali sebagai proses saka. Tuannya harus memberi makan iaitu darah daripada jari tangan kepada mahkluk halus ini. Terdapat kepercayaan bahawa pelesit boleh menjelma menjadi belalang pelesit yang mempunyai kepala tajam dan tirus bagi memudahkan memasuki rumah musuh. Belalang pelesit akan mengambil peluang untuk menghisap darah mangsa terbabit.
Sebelum tuan meninggal dunia, dia perlu mencari pengganti baru bagi mengelakkan pelesit mengganggu penduduk di sekitar sekiranya hidup liar tanpa tuan baru. Pelesit perlu dijaga kecuali tuan terbabit mengambil keputusan untuk menghapuskan mahkluk halus ini. Memelihara pelesit adalah berdosa dari segi agama Islam kerana ia merupakan perbuatan syrik dan ilmu sesat.
Hantu Raya
Hantu raya mempunyai persamaan tertentu dengan pelesit kerana mahkluk halus ini juga dipelihara bagi tujuan memudaratkan musuh. Hantu raya berasal dari golongan jin atau syaitan. Walau bagaimanapun, hantu raya mempunyai perbezaan tertentu dengan pelesit kerana hantu raya boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan merasuk seseorang. Hantu raya iniĀ juga dikatakan mampu menjelma menjadi tuan sendiri. Tuan perlu memberi makanan tertentu seperti ayam panggang, pulut kuning dan acak kepada hantu raya. Sekiranya tuan gagal menjaga hantu raya dengan baik, jin ini akan bertindak ganas menyerang tuannya. Sama seperti pelesit, hantu raya memerlukan waris tuan untuk menjaganya. Sekiranya tuan gagal menurunkan kepada waris, maka dia akan menjadi bangkai bernyawa dan tubuhnya akan berbau busuk.
