Kepercayaan karut masyarakat Melayu: Jenis Hantu (bahagian 3)
Hantu merupakan kepercayaan karut yang wujud dalam setiap masyarakat. Berikut merupakan sambungan daripada siri pertama dan kedua tentang jenis-jenis hantu dalam masyarakat Melayu. Dalam perbincangan kali ini, ia meliputi hantu bungkus, langsuir dan bunian.
Hantu bungkus
Hantu bungkus yang juga dikenali sebagai hantu punjut atau hantu pocong adalah sejenis mahkluk yang menyerupai mayat yang dibungkus dengan kain kafan. Mahkluk ini lazimnya akan mengganggu individu yang mempunyai lemah semangat. Oleh kerana dibalut dengan kain kafan, hantu bungkus bergerak dengan meloncat ataupun kadang-kala bergolek. Sungguhpun meloncat dan bergolek, hantu bungkus boleh bergerak pantas seperti kereta. Mahkluk ini hidup secara bebas tanpa dipelihara oleh manusia. Mereka dikatakan adalah jelmaan jin yang bertujuan mengganggu manusia. Mana-mana pihak yang cukup berani menangkap hantu bungkus akan mendapat kekayaan kerana bungkusan hantu menyembunyikan banyak wang. Kelebihan hantu bungkus adalah kepantasan dari segi pergerakan tetapi mereka hanya boleh bergerak lurus sahaja.
Langsuir
Langsuir mempunyai persamaan dengan Pontianak – mahkluk halus ini menghisap darah mangsa secara perlahan-lahan sehingga mangsa mati. Terdapat kepercayaan masyarakat Melayu yang mengatakan langsuir adalah wanita yang mati ketika bersalin. Oleh sebab itu, langsuir dipercayai memiliki rupa paras yang cantik dan mampu menggoda lelaki sebagai mangsa. Mangsa yang berjaya digoda akan mengikut langsuir ke tempat yang sunyi dan kemudiannya, langsuir akan menjelma semula menjadi rupa asal dan mengoyakkan perut mangsa ataupun mencekik leher mangsa sambil menghisap darah mereka. Langsuir boleh menjelma kepada rupa paras yang cantik sekiranya dipaku di belakang tengkok leher.
Bunian
Orang Bunian merupakan salah satu kepercayaan karut orang Melayu yang sering dibincangkan mengenai kewujudannya. Ia adalah mahkluk halus yang berasal dari golongan jin dalam legenda Melayu. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu dahulu kala, ia adalah sukar untuk membezakan bunian dengan manusia kerana mahkluk ini menyerupai struktur sosial manusia. Mahkluk ini mempunyai keluarga dan puak serta wujud dalam masyarakat besar. Walau bagaimanapun, bunian hidup jauh daripada manusia kerana mereka biasanya mendiami kawasan hutan belantara. Tetapi terdapat juga kepercayaan yang mengatakan bahawa bunian hidup sebumbung dengan keluarga. Masalah kerasukan sering dikaitkan dengan orang bunian. Orang bunian dikatakan mempunyai kuasa luar besar. Justeru, mereka kadang-kala akan menolong pawang atau bomoh dalam sesetengah masalah. Sejak beberapa dekad lalu, orang bunian dikatakan sering menculik kanak-kanak serta bayi dalam perut wanita. Bagi sesetengah kes yang menyebabkan manusia sesat dalam kawasan hutan, ia dikatakan berpunca daripada orang bunian.
