Kepercayaan karut orang Melayu: Jenis hantu

July 25, 2011 · Leave a Comment
Filed under: Cerita Melayu 

Lazimnya, terdapat kepercayaan di kalangan masyarakat tentang kewujudan makhluk halus di alam lain yang dikenali sebagai hantu. Dalam masyarakat Melayu, kepercayaan tentang makhluk halus yang juga dikenali sebagai semangat, jembalang dan penunggu sudah lama wujud sejak zaman animisme lagi.Amalan ini masih lagi berlarutan sehingga zaman kini. Masyarakat Melayu percaya hantu biasanya keluar pada waktu malam terutama apabila bulan mengambang. Hantu dalam masyarakat Melayu adalah semangat yang menggerunkan. Selain itu, terdapat juga kepercayaan bahawa hantu dalam masyarakat Melayu adalah wanita ataupun makhluk yang menyerupai perempuan (mempunyai rambut panjang) seperti lembaga putih. Gambaran daripada masyarakat zaman dulu ataupun media menyebabkan masyarakat kini percaya hantu mempunyai mata merah dan terdapat kesan darah pada mulut kerana semangat ini mempunyai gigi tajam untuk menghisap darah. Terdapat pelbagai jenis hantu dan makhluk dalam masyarakat Melayu. Dalam bahagian 1, kita akan membincangkan Pontianak dan toyol.

Pontianak

Pontianak berasal daripada kaum wanita yang meninggal ketika masih mengandungkan anak. Terdapat juga kepercayaan lain iaitu Pontianak adalah jin liar yang mempunyai niat untuk mengganggu manusia. Pontianak yang kadang-kala juga dieja sebagai puntianak adalah salah satu jenis hantu yang diceritakan dalam buku Hikayat Abdullah. Masyarakat zaman dahulu percaya Pontianak mempunyai kelemahan iaitu lubang di belakang tengkuk. Mana-mana pihak yang berjaya memasukkan paku ke dalam lubang di belakang tengkuk akan menjadikan Pontianak itu sebagai wanita cantik tetapi makhluk itu akan menjelma sebagai Pontianak semula jika paku itu dikeluarkan.

Toyol

Toyol pula dipercayai berasal dari golongan jin ataupun syaitan yang dipelihara oleh masyarakat untuk membantu mencuri. Toyol lazimnya digambarkan sebagai kanak-kanak kecil yang juga dikenali sebagai saka. Pengamal ilmu sihir memelihara toyol kerana ingin mencuri daripada jiran tetangga. Toyol kecil boleh menyelinap ke dalam bilik berkunci dan mencuri barang-barang berharga yang disorokkan di mana-mana sahaja. Toyol digambarkan sebagai kanak-kanak kecil berbogel yang mempunyai mata merah dan gigi tajam. Ia dipelihara dan disimpan dalam botol kecil. Pemilik toyol perlu memberi darah kepada makhluk itu terutama pada setiap bulan mengambang. Jika pemilik tidak member darah kepada toyol yang dipelihara, maka makhluk itu akan menghisap darah ahli keluarga terdekat mereka.

 

 

Speak Your Mind(Comment with Facebook)

Tell us what you're thinking...

You must be logged in to post a comment.

  • ADVERTISING