Lagu Melayu
Lagu popular akan sentiasa diingati ramai walaupun penyanyi yang mendendangkannya sudah meninggal dunia. Sebagai contoh, P. Ramlee, penyanyi tanah air yang cukup terkenal dengan lakonan dan nyanyiannya. Antara lagu Melayu popular karya P. Ramlee termasuklah ‘Tudung Periuk’ dari filem Sumpah Orang Minyak serta lagu-lagu lain duet bersama Saloma seperti Aduhai Sayang, Apabila Kau Tersenyum, Asmara Bergelora, Bunga Melor, Lagu Anak Rantau dan Joget Malaysia.
Terdapat juga penyanyi baru yang terkenal hanya kerana sebuah lagu hit yang mampu melariskan jualan album terbabit. Dalam industri muzik Malaysia, beberapa penyanyi terkenal dalam sekelip mata kerana lagu dalam album atau single tersebut berjaya menduduki carta-carta hits dan radio. Penyanyi popular seperti Aizat berjaya menggondol anugerah berprestij melalui lagu dendangannya ‘Pergi’ manakala lagu ciptaan Yuna ‘Dan Sebenarnya’ juga menjadi salah sebuah lagu Melayu yang cukup popular di kalangan masyarakat setempat.
‘Dan Sebenarnya’ ciptaan Yuna menggondol anugerah ‘Lagu Terbaik’ dan juga juara keseluruhan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-17. Lagu-lagu Melayu popular yang pernah dinobatkan sebagai ‘Lagu terbaik’ adalah Ku Mohon oleh Sheila Majid, Aku Cinta Aku Rindu oleh Ajai dan Nurul, Warkah Buat Laila nyanyian Zahid, Selagi Ada Cinta dan Awan yang Terpilu oleh Ning Baizura serta Izinku Pergi dendangan Kaer Azami.
Sungguhpun AIM dan Anugerah Juara Lagu (AJL) hanya mampu menobatkan sebuah lagu sebagai juara keseluruhan pada setiap tahun, terdapat banyak lagi lagu-lagu Melayu yang berjaya menduduki carta-carta hits tetapi hanya menggondol anugerah seperti Vokal Terbaik. Antara lagu-lagu tersebut ialah ‘Sandarkan pada Kenangan’ oleh Siti Sarah dan Jamal Abdillah, ‘Pulangkan’ dan ‘Bunga-bunga Cinta’ oleh Misha Omar serta ‘Ceritera Cinta’ oleh Jaclyn Victor dan Rio Febrian.
